Kerana lipas.
Ajis Lepit
“Mengapa
kalian tidak membawa lipas bagi kelas
sains pagi ini?” soal Cikgu Irianto kepada kelas Satu C.
Cikgu Irianto adalah guru sains
panduan selaku guru kanan siding petang. Dia sentiasa digeruni oleh warga kelas
Satu C kerana renungannya yang tajam dan tegas mengenai soal disiplin pelajar.
“Bukan saya sudah maklumkan seminggu yang lalu supaya murid-murid membawa
dua ekor lipas bagi kelas anatomi serangga?” soal Cikgu Irianto lagi. Suaranya
penuh dengan nada kecewa. Terasa juga hendak marah dengan sikap pelajar kelas
itu kerana tiada seorang pun membawa lipas hari itu.
“Kelas anatomi serangga amat penting
bagi membezakan antara bahagian toraks, abdomen dan ekor,” kata Cikgu Irianto.
“Mempelajari
sains dengan cara terbaik tidak memadai dengan kelas teori sahaja tetapi
perlu difahami dengan menjalani amali
dalam makmal,” ujar Cikgu Irianto sambil menggenggam rotan di tangannya.
Pelajar Satu C diam, tiada yang
berani mengangkat muka. Mereka tahu mereka pasti mendapat denda kerana tidak
membawa lipas.
“Semua sila beratur di luar bilik
darjah ini,” Cikgu Irianto mengarah semua pelajar Satu C membuat barisan di
ruang kaki lima kelas. Cikgu Irianto memulakan soal siasatnya seorang demi
seorang.
“Halim, mengapa tidak membawa lipas
seperti disuruh?”
Halim yang duduk di barisan hadapan
sekali menjadi pesalah pertama yang disiasat.
“Saya lupa,” Halim memberi alasan.
“Itu bukan alasannya, orang muda mana
boleh lupa, saudara belum nyanyuk lagi. Lain kali catat arahan saya dalam buku
catatan, tanam dalam minda, lekatkan di hati,” bebel Cikgu Irianto panjang
lebar sambil menghayun rotan ke tapak tangan Halim.
Ajis yang ketakutan sudah sedia
dengan alas an, menunggu sahaja bagi disoal siasat. “Saya hendak menangkap
lipas dalam laci belajar saya tetapi lipas lari terlalu pantas,” jelas Ajis.
Cikgu Irianto terus melibas dua
pukulan di tapak tangan Ajis. Ajis bukannya tidak mahu menangkap lipas di dalam
laci belajar itu tetapi takut dan geli.
Murid-murid yang lain juga dikenakan
dua pukulan di tapak tangan tanpa mendengar alas an daripada setiap murid-murid
di barisan seterusnya. Baginya ada alas an ataupun tiada, semua menerima
hukuman. Tiada yang terkecuali.
Ajis tidak pernah lupa kisah
kehidupannya semasa menjadi pelajar menengah rendah. Kini Ajis cukup meminati
subjek sains dan menjadi guru fiizik di sebuah sekolah di Sabah.
Eksperimen Katak.
Norashikin Wahid
“Esok semua orang mesti datang ke makmal bersama seekor
katak setiap seorang.” Pesan Cikgu Aliya Qistina, sebelum meninggalkan kelas
pada hari itu.
Sudah hampir lima tahun Cikgu Aliya
Qistina mengajar mata pelajaran biologi. Dia gemar memakai kasut bertumit
tinggi. Bunyi kasutnya itu adalah
isyarat dia sudah hampir tiba ke kelas. Ini memudahkan para pelajarnya
kembali ke tempat duduk masing-masing sebelum dia tiba di kelas.
“Malam ini
kita aka nada tugasan manarik,” kata Afiq kepada Nurul.
“Menarik?”
kata Nurul sambil membeliakkan matanya kepada Afiq.
“Tidak
geli katak?” Afiq sengaja menduga Nurul.
“Tidak,
saya sayang katak. Buat pengetahuan
saudara,katak adalah binatang peliharaan saya di rumah,” terang Nurul lagi dan
terus meninggalkan Afiq terpinga-pinga seorang diri.
“Betulkah?
Buktikan pada saya malam ini,” Afiq menjerit ke arah Nurul yang sudah jauh
meninggalkannya.
“Habislah saya,” kata Nurul kepada Atiqah yang
bersama dengannya waktu itu.
“Mengapa
kata begitu kepada Afiq tadi?” tanya Atiqah.
“Geram
dengannya,” jawab Nurul.
“Jangan
risau, saya tolong saudari malam ini.”
Tepat jam
lapan malam keluarlah mereka beramai-ramai menjalankan operasi mencari katak
bagi dijadikan bahan eksperimen kelas biologi pada keesokkan paginya.
“Sudah
dapat katak?” soal Afiq kepada Nurul sambail menayangkan katak yang sudah berjaya
ditangkapnya.
“Jangan
sibuklah!” marah Nurul
“Jangan
sombong, nanti ada orang duduk luar makmal esok kerana tidak membawa katak,” perli
Afiq.
“Ke tepi!”
marah Nurul lagi sambil membaling rumput ke muka Afiq.
Afiq terus
mengejar Nurul sambil menakut-nakutkannya dengan katak yang berada di dalam beg
plastiknya.
“Janganlah!”
jerit Nurul.
“Kata
binatang peliharaan, mengapa perlu takut?” perli Afiq memulangkan paku buah
keras kepada Nurul.
“Ambil ini,
saya tahu saudari takut,” kata Afiq sambil menghulurkan katak itu kepada Nurul.
“Saya
boleh tangkap sendiri, tidak payah sibuk,” kata Nurul tidak mahu mengalah.
“Jangan
jual mahal kerana sekarang sudah lewat malam,” Atiqah cuba memujuk Nurul.
Akhirnya Nurul akur memandangkan dia seorang sahaja pelajar perempuan yang
tidak dapat menangkap katak lagi.
“Sewaktu
eksperimen esok, ingat-ingatlah pada saya,” Afiq memberi peringatan.
“Buang
masa,” jawab Nurul sambil mencebikkan bibir ke arah Afiq.
“Saya
ambil balik katak, baru tahu,” ugut Afiq.
“Buruk siku,” ejek Nurul.
Begitulah
keadaan mereka setiap hari bagaikan anjing dengan kucing yang pantang bertemu
ada sahaja perkara yang dapat digaduhkan.
“Jangan
selalu bergaduh, nanti lain jadinya,” nasihat Atiqah kepada Nurul sewaktu
mereka sedang berjalan ke asrama.
“Mustahil,”
jawab Nurul sambil memuncungkan mulut.
“Baik,
kita tunggu dan lihat sahaja nanti,” usik Atiqah lagi.
*****
Pada keesokkan harinya setiap tingkap tergantung beberapa
beg plastik berisi katak. Pelbagai saiz dapat dilihat. Cikgu Qistina tersenyum
sambil mengangguk-anggukkan kepalanya apabila melihat semua pelajar beratur ke
makmal dengan membimbit beg plastik berisi katak.
“Letak semua katak di atas meja,” arah
Cikgu Qistina.
“Mengapa
katak saudari kecil?” Cigu Qistina sengaja mengusik Nurul yang sedang asyik
membelek-belek beg plastiknya yang berisi katak itu.
“Dia tak
beri kataknya makan,” sampuk Afiq sambil mengenyitkan mata kea rah Nurul.
“Dia pun
apa kurangnya, katak dia juga seperti tidak cukup nutrient sahaja,” Cikgu
Qistina sengaja mengenakan Afiq pula.
Nurul ketawa terkekeh-kekeh apabila Afiq
pula yang terkena.
“Katak
saya berpuasa sejak malam tadi. Oleh itu, saya tidak memberinya minum ataupun makan apa-apa,” jawab Afiq
pantas.
“Ada-ada
sahaja,” balas Cikgu Qistina sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Mereka
semua melakukan eksperimen dengan sebaiknya walaupun ada antara mereka takut
dan geli dengan katak. Namun, tiada seorang pelajar yang berani menjerit kerana
sudah diberi amaran oleh Cikgu Qistina jika ada seorang yang menjerit,
eksperimen pada hari itu dibatalkan begitu sahaja dan ini bermakna mereka perlu
menangkap katak yang baru.
No comments:
Post a Comment